Thursday, August 9, 2012


7 Cara Bijak Sedia Makanan Berkhasiat



Amalan pemakanan yang tidak seimbang menjadi penyumbang terbesar kepada masalah kegemukan. Pengambilan makanan berkalori lebih daripada keperluan badan juga penyebab utama masalah ini.
Tenaga ataupun kalori yang berlebihan disimpan di dalam tubuh akan bertukar menjadi lemak. Sebaliknya, jika kalori kurang daripada yang diperlukan badan, maka lemak tadi akan digunakan semula sebagai sumber tenaga. Punca lain yang menyebabkan kegemukan seperti fisiologi, keturunan, sosioekonomi, trauma dan psikologi.
Masalah kegemukan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti lebih mudah menghidap penyakit berbahaya yang tergolong dalam penyebab utama kematian.
Antara penyakit disebabkan masalah berat badan adalah kencing manis, jantung, darah tinggi, pundi hempedu, penyakit hati, reumatik dan buah pinggang.
7 cara bijak dalam penyediaan makanan yang boleh membuatkan sesuatu hidangan itu lebih berkhasiat:
1. Buang lemak pada daging dan kulit ayam.

2. Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran segar sebelum dimakan. Elakkan merendam buah-buahan dan sayur-sayuran, sebaliknya gunakan air bersih yang mengalir.
3. Jangan memotong atau menghiris kecil buah-buahan dan daun sayur kerana ini boleh menghilangkan khasiat makanan itu.
4. Untuk mengekalkan khasiat ubi kentang dan keledek, bersama-sama kulitnya.
5. Pastikan air mendidih atau minyak benar-benar panas apabila memasukkan makanan untuk dimasak.
6. Kurangkan penggunaan garam, gula dan bahan pengawet dalam masakan anda.

7. Jangan gunakan minyak masak berulang kali sehingga warna asal minyak berubah.

Justeru, anda dinasihatkan untuk merancang hidangan bagi memastikan sentiasa mengambil makanan seimbang dan berkhasiat. Banyakkan hidangan yang dimasak menggunakan cara seperti panggang, rebus, kukus, bakar dan kurangkan makanan berminyak dan bergoreng.
Selain itu, rancang juga jadual makan anda iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Jangan sekali-kali abaikan sarapan kerana sarapan sangat penting untuk memberi tenaga terutama kepada anda yang bekerja dan pelajar.
Sarapan juga membantu anda agar tidak terlalu lapar pada waktu tengah hari dan sekali gus menyekat anda daripada makan tengah hari berlebihan.

No comments:

Post a Comment